KOLEKSI SAHABAT_ISLAM (KLIK SAHAJA)

DARI PENA SAHABAT_ISLAM


Salam Ukhuwah dari sahabat_Islam

Untuk Pengetahuan Semua tujuan blog ini diwujudkan adalah sekadar berkongsi sedikit ilmu,pengalaman dan idea kepada sahabat-sahabat sekalian.Mudah mudahan percambahan pemikiran dan luasnya pengalaman sahabat-sahabat sekalian dapat dikongsikan disini.
Apa yang diharapkan adalah blog ini mampu menjadi sebahagian daripada koleksi ilmiah yang mampu memberikan manfaat kepada sahabat-sahabat sekalian walaupun hanya sedikit.Apa yang ingin ditegaskan disini adalah sekiranya apa jua isi kandungan blog ini dilihat menyimpang dari 4 sumber syara' yang telah disepakati maka sahabat-sahabat sekalian wajiblah menolaknya.Andai ianya bertepatan dengan syara' maka manfaatkanlah.
Janganlah melihat kepada siapa yang berkata akan tetapi lihatlah kepada apa yang dikatakan olehnya.andai ianya benar menurut pandangan syara' maka benarlah juga menurut pandangan kita.Mudah mudahan islam menjadi perkara teras dalam kehidupan kita dan segala penyimpangan darinya mampu kita jauhi.Tiada apa yg terbaik melainkan mengikuti semua perintah Allah dan rasulnya tanpa mengurangi dan menambahnya walaupun sedikit.

wallahu a'lam..

ADIK DAN PALESTIN..

ADIK DAN PALESTIN..
Karya yang hebat..Semoga ianya menjadi peringatan kepada kita semua yang darah saudara kita bukan murah..Ya Allah semoga kaum muslimin sedar akan tanggungjawab mereka..

NUR AMANA..MUSNAH KERANA CINTA

NUR AMANA..MUSNAH KERANA CINTA
Sebuah Cerpen Hebat..Semoga Allah Memberikan yang terbaik kepada Penulisnya.. Seorang Gadis manis yang punya didikan agama musnah dek kerana sistem sekuler yang bermaharajalela..

CERPEN:"Serikandi Agama Mujahidah sejati"

CERPEN:"Serikandi Agama Mujahidah sejati"
Bingkisan Kecil Buat pengunjung Blog sahabat_islam.Semoga akan lahir mujahid dan mujahidah sejati daripada serikandi agama yang Kukuh Akidahnya,mantap ukhuwahnya dan Hebat perjuangannya

Jumaat, November 07, 2008

FIQIH SUNNAH

Apa Pandangan Islam Berkenaan I.S.A


Setelah agak lama menyepi insyaallah kali ini sahabat_islam sukacitanya ingin mengutarakan isu ISA menurut perspektif islam yang artikel asal berkenaan isu ini boleh didapati dari website mykhilafah.com.Mudah mudahan umat islam menyedari dan akan selalu berhukum dengan syariat.


“Kerajaan tidak cadang kaji ISA” – Itulah keputusan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagaimana disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 19/10/08. Beliau berkata, “tumpuan saya ialah untuk membentangkan tiga rang undang-undang ini (suruhanjaya pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan aduan khas) di Parlimen dan oleh itu tolong jangan soal saya tentang langkah untuk mengkaji ISA kerana akta hampir sama juga masih diguna pakai di Amerika Syarikat (AS) dan Britain”, tegasnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 di Kuala Lumpur pada 18 Oktober lepas. Perdana Menteri nampaknya langsung tidak mahu tunduk kepada bantahan yang ditimbulkan dari pelbagai pihak termasuklah dari parti komponen BN sendiri untuk memansuhkan Akta zalim tersebut.

Siapa tidak kenal ISA? Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang lebih dikenali sebagai ISA iaitu akronim nama Bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di Malaysia sejak 1960 lagi. Akta yang telah benar-benar digunakan kerajaan untuk menyelamatkan hegemoni politik mereka ini membolehkan sesiapa sahaja ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang disyaki atau dipercayai mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Dan Menteri boleh menyambung dan terus menyambung tempoh tahanan ‘ikut suka beliau’ selama tempoh yang tiada hadnya, selama beliau masih berkuasa atau masih bernyawa. Secara umumnya akta hasil pemikiran penjajah ini mengenepikan kuasa kehakiman dan bercanggah dengan kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan yang diagungkan oleh mereka sendiri. Ringkasnya, individu yang ditahan di bawah ISA akan dikenakan tindakan berikut:

(i) tidak memerlukan waran tangkap atau apa-apa arahan dari Mahkamah

(ii) tidak perlu dan tidak akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atau dibuktikan kesalahannya

(iii) kuasa mutlak untuk ‘menjatuhkan hukuman’ terletak kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri

(iv) ‘kuasa mutlak’ untuk menyeksa tahanan terletak pada polis cawangan khas (SB) yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan.

Kaedah Penghakiman/Keadilan Dalam Islam

Sebagai sebuah deen yang sempurna, agama Islam yang diturunkan oleh Allah ini mencakup segala perkara dan tidak ada satu pun yang tertinggal darinya. Dalam bab pengqadhian (penghakiman), Islam telah menggariskan hukum dan kaedah yang lengkap yang wajib diikuti oleh umat manusia. Antara kaedah syarak yang masyhur di dalam bab penghakiman/keadilan Islam adalah “Al-Aslu bara’atu zimmah” yang bermaksud “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah” (innocent until proven guilty). Mengikut kaedah ini, oleh sebab hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya, maka seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan keputusan mahkamah (setelah dibicarakan dan dibuktikan), dan seseorang itu tidak boleh sama sekali (secara mutlak) dihukum (punish) oleh mana-mana pihak selagi dia tidak disabitkan kesalahan [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, Fasal 13].

Perkara pertama: Al-Aslu bara’atu zimmah. Kaedah ini diambil dari hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam iaitu, “(Beban) pembuktian adalah di atas pendakwa, dan sumpah (penafian) adalah di atas yang tertuduh” [HR Baihaqi dan Mutafaq alaih]. Imam Nawawi ketika mensyarah hadis ini mengatakan, “Pembuktian terletak di pihak pendakwa kerana ia menyalahi perkara yang zahir. Ini adalah kerana asasnya seseorang itu adalah ‘bebas dari kesalahan/liabiliti’ (bara’atu zimmah), sedangkan bagi tertuduh (accused/defendant) cukup dengan sumpah sahaja di pihaknya kerana dia meminta mengekalkan status quo, sesuai dengan asalnya iaitu bara’atu zimmah (tidak bersalah)” [Syarah Matan Arba’in, ms 153]. Hadis ini dengan jelas menerangkan bahawa hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah (innocent), dan pendakwa hendaklah membawa/menunjukkan bukti bahawa si tertuduh bersalah. Jika dia gagal membuktikan, maka si tertuduh tetap berada dalam keadaan asalnya yakni tidak bersalah. Justeru, menjatuhkan hukuman tanpa bukti, malah tanpa dakwaan sedikit pun seperti yang berlaku dalam kes ISA adalah bertentangan sama sekali dengan hadis ini. Dengan kata lain, perbuatan ini telah menyalahi hukum yang telah ditetapkan oleh Rasulullah.

Perkara kedua: Seseorang tidak boleh dijatuhkan hukuman kecuali dengan keputusan Qadhi (Mahkamah). Dalil untuk hal ini dapat dilihat dalam Hadis Nabi,

“Maka barang siapa yang telah terambil hartanya olehku, maka inilah hartaku, maka silalah dia mengambilnya dan barang siapa yang telah aku tersalah sebat belakangnya maka inilah belakangku untuk disebatnya, maka hendaklah dia mengambil keputusanku ini” [HR Baihaqi].

Dalam kes ini, kita mesti ingat bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam mengatakan hal ini dalam kapasiti baginda sebagai seorang pemerintah dan juga hakim. Ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang telah dihukum (oleh hakim) secara salah, maka dia boleh menuntut pembalasan yang serupa. Hadis ini menjadi dalil yang tidak membenarkan pemerintah menghukum rakyatnya tanpa terbuktinya dakwaan terhadapnya yang melayakkan dia dihukum. Oleh itu, seseorang tidak boleh mendera orang lain kecuali dengan keputusan hakim dan adalah haram bagi seseorang hakim untuk menghukum (sama ada mengambil harta, mendera atau memenjara) orang lain tanpa hak. Tambahan pula ada dalil lain di dalam kes li’an, yang mana seorang perempuan yang dituduh oleh suaminya bersekedudukan dengan orang lain kemudian perempuan ini dibawa ke hadapan Rasulullah (sebagai hakim), tetapi dia telah teragak-agak dalam melakukan penafian. Dalam kes itu, perempuan tersebut terselamat dari direjam kerana dia telah melakukan sumpah li’an.

Namun Rasulullah bersabda, “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti, nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani].

Ini menunjukkan bahawa tidak boleh merejam (menghukum) seseorang apabila tidak ada bukti jelas meskipun anda kesamaran dalam penafian perempuan tersebut. Jika Rasulullah sendiri justeru memanggil bicara dan tidak menghukum tanpa bukti yang jelas (walhal baginda diberi wahyu tentang perkara tersebut), maka alangkah hebatnya kuasa seorang Menteri (dan polis-polis yang terlibat) melampaui batas yang ditetapkan oleh Rasulullah, apabila mereka dengan mudahnya terus menghumban suspek ISA ke Kamunting dan menyeksa tahanan tanpa bicara dan tanpa bukti yang kukuh!Dalam keadaan di mana individu tersebut disyaki melakukan kesalahan, Islam sememangnya membenarkan pihak polis menahan seseorang tertuduh (seperti tahanan reman) bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat sebelum melakukan dakwaan. Bagaimanapun, penahanan ini hanya boleh dilakukan dengan syarat mendapat akuan/perintah dari Mahkamah dan masa penahanan adalah pendek dan terhad.

Hal ini berdasarkan dalil hadis dari Bahz bin Hakim dari bapanya, dari datuknya, “Bahawa Nabi SAW menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” [Riwayat Lima kecuali Ibn Majah] dan dari Abu Hurairah ia berkata, “Rasulullah SAW menahan seorang individu selama sehari semalam dalam satu kes pertuduhan”. Perlu difahami bahawa penahanan tersebut bukanlah satu bentuk ‘hukuman’ tetapi ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan keterangan (tempoh siasatan), dan tidak boleh sama sekali mendera atau menyeksa tertuduh pada waktu ini.

Perkara ketiga: Hukuman hanya boleh dikenakan selepas sabit kesalahan. Tidak boleh (haram) melaksanakan hukuman kepada si tertuduh sebelum disabit kesalahannya. Dalilnya adalah berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam

“Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani].

Meskipun (berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas) perempuan tersebut memang diketahui telah melakukan zina, namun ternyata Rasulullah tidak menyeksa atau melakukan apa jua tindakan agar perempuan itu mengaku. Tambahan lagi, jikalau hukuman boleh dikenakan kepada si tertuduh semata-mata kerana kesalahannya ‘diketahui’, maka sudah tentu perempuan itu dihukum oleh Rasulullah kerana kejahatannya memang sudah pun diketahui ramai. Namun ternyata hakikatnya tidak demikian. Ini menunjukkan bahawa secara mutlak tidak dibolehkan (haram) melaksanakan hukuman terhadap si tertuduh tanpa disabitkan kesalahannya. Oleh yang demikian, adalah haram mengugut, memukul, mendera, memenjara atau mengenakan apa jua bentuk hukuman (punishment) selama mana tertuduh masih belum disabitkan kesalahan.Hal ini disokong lagi oleh hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam tidak menghukum seorang yang mabuk kerana tidak ada bukti.

“Ibnu Abbas berkata, seorang lelaki telah meminum khamar dan mabuk dan dilihat terhuyung hayang. Lelaki ini dibawa kepada Rasulullah dan ketika menghampiri rumah Abbas, dia terlepas lalu masuk ke rumah Abbas dan berselindung di situ. Apabila hal ini sampai kepada Rasulullah, baginda tertawa seraya bertanya, ‘Adakah dia melakukan semua itu?’ Dan (kata Ibnu Abbas) Rasulullah tidak memerintahkan apa-apa pun dalam perkara ini”. Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada peminum khamar kerana tidak ada pengakuan dari tertuduh dan dakwaan ke atasnya juga tidak terbukti. Ini bermakna dia telah ‘dituduh’ mabuk tetapi tidak dapat dibuktikan (bahawa dia minum arak). Rasulullah tidak mengugut atau menyeksa atau mendera dia agar mengaku, dan Rasulullah juga tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya hanya semata-mata kerana adanya ‘tuduhan’. Oleh yang demikian, adalah haram untuk mengenakan sebarang bentuk tindakan ke atas tertuduh selagi kesnya tidak disabitkan oleh Mahkamah. Dengan kata lain, selagi tidak ada sabitan, statusnya tetap sebagai tertuduh (accused) dan bukannya pesalah (guilty) dan tidak ada seorang pun, baik polis atau menteri yang boleh menghukum (punish) orang yang ‘dituduh’. Berdasarkan hadis ini, hukuman tahanan 60 hari dan juga dua tahun penjara (dan diseksa) yang dilakukan di bawah ISA oleh Menteri Dalam Negeri dan juga pihak polis adalah teramat jelas menyalahi perbuatan Rasulullah dan ternyata haram hukumnya ditinjau dari aspek mana sekalipun.Selain ketiga perkara di atas, terdapat banyak hadis di mana Rasulullah berpesan, “Jika dua orang yang bersengketa di hadapkan di hadapan engkau (hakim) maka janganlah engkau menjatuhkan keputusan sehingga engkau mendengarkan dari pihak yang satu lagi sebagaimana engkau mendengar dari pihak pertama” [HR Ahmad]. Malangnya di dalam kes ISA, suspek langsung tidak dihadapkan di hadapan hakim dan langsung tidak diberi hak untuk berbicara. Suspek hanya ‘dipaksa’ menerima keputusan Menteri yang dibuat tanpa (Menteri tersebut) melihat kepada syariat Islam sedikit pun dan suspek terus dikategorikan sebagai pesalah. Kita sungguh sedih menghadapi kekejaman undang-undang ini tatkala melihat ia dilakukan oleh pemerintah yang mengaku bahawa mereka adalah beragama Islam. Islam manakah yang diikuti oleh mereka walhal hadis-hadis Rasulullah dalam hal ini mereka campakkan kesemuanya?Sesungguhnya keharaman ISA adalah ibarat cahaya matahari. Bagi mereka yang jahil agama sekalipun, semua tahu bahawa ISA adalah undang-undang buatan manusia di Parlimen yang diluluskan dengan cara majoriti. ISA bukan berasal dari wahyu, malah jelas bertentangan dengan apa yang diwahyukan. Jika dulu ISA digubal untuk menghalang kebangkitan komunis, dan ternyata ia telah berjaya melumpuhkannya. Kini setelah hilangnya pengaruh ideologi tersebut, ISA digunakan pula untuk menghalang kebangkitan dan penerapan Islam, dengan ditangkap dan dipenjarakan pendakwah-pendakwah yang ingin menegakkan agama Allah dan siapa sahaja yang berjuang ke arah menggantikan kerajaan sekular ini dengan Islam.

Wahai kaum Muslimin! Kita semua tahu bahawa ISA adalah sebuah akta yang memang terkenal zalim. Namun, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mengukur ‘zalim’ itu dari perspektif Islam semata-mata, bukannya dari perspektif emosi. Apabila kita memandang dari kaca mata Islam, maka kita akan mendapati bahawa bukan sahaja ISA, malah hampir kesemua undang-undang yang dibuat oleh manusia yang diamalkan di Malaysia hari ini adalah zalim. Ini kerana semua undang-undang itu adalah undang-undang yang bertentangan dengan Islam yang hanya diluluskan dengan mudah melalui sistem demokrasi berdasarkan suara majoriti. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45]. Oleh itu, kita hendaklah memahami bahawa kezaliman ISA itu adalah kerana keharamannya, sama sebagaimana undang-undang haram lain yang bertentangan dengan Islam yang diamalkan di negara kita. Justeru, ISA dan juga akta-akta gubalan manusia wajib dihapuskan dan diganti dengan undang-undang Islam yang berasal dari wahyu. Wallahu a’lam.

@-CopyrightControl-
Read More...

Sabtu, November 01, 2008

FIQIH SUNNAH

Aurat

Assalamualaikum..
Bingkisan Fiqih Sunnah kali ini akan menjelaskan serba sedikit berkenaan dengan Aurat.Mudah mudahan ianya mampu menjelaskan kepada sahabat-sahabat sekalian makna sebenar yang dikehendaki syara'..Inilah kupasan ulama'-ulama' muktabar dalam hal ini...



Awrat (aurat) adalah masdar dari 'ara-ya'uru-'awran wa 'awratan; jamaknya 'awrat.
Aurat mempunyai beberapa makna: aib, cacat, atau cela; celah-celah suatu tempat; semua hal yang dirasa malu.
Ar-Razi mengatakan, aurat adalah segala perkara yang dirasa malu jika nampak.
Al-Quran menyatakan kata aurat ('awrah) dua kali dalam satu ayat (TMQ al-Ahzab [33]: 13): Inna buyutana 'awrah wa ma hiya bi 'awrah. Maknanya sesuai dengan makna bahasanya, iaitu tempat atau celah yang terbuka atau tak terlindung dan dikhawatirkan.
Kata 'awrat (jamak dari 'awrah) juga dinyatakan dua kali dalam al-Quran (TMQ an-Nur [24]: 31 dan 58). Pada ayat 58, kata tsalatsu 'awrat maknanya adalah tiga waktu yang layak nampak aurat di dalamnya2 atau tiga waktu yang biasanya wanita melepaskan pakaiannya atau mengganti pakaian biasa dengan pakaian tidur atau sebaliknya, iaitu: waktu sebelum shalat fajar/subuh; waktu zuhur/waktu orang menanggalkan pakaiannya; dan setelah shalat isya. Tiga waktu ini disebut 'awrah. Pada tiga waktu tersebut, anak-anak yang belum baligh dan pembantu atau hamba sahaya-apalagi selain mereka, kecuali suami atau isteri mesti mengucapkan salam tiga kali dan meminta izin untuk masuk.

Aurat Lelaki

Para ulama berbeza pendapat tentang aurat lelaki. Menurut sebahagian mereka, aurat lelaki hanya dubur dan kemaluan; paha tidak termasuk aurat. Menurut majoriti, aurat lelaki adalah antara pusat dan kedua lutut, sementara pusat dan lutut tidak termasuk aurat. Siwar bin Dawud menuturkan riwayat dari Amru bin Syuaib, dari bapaknya, dari datuknya bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda:
Jika salah seorang dari kamu menikahkan hamba sahaya atau pegawainya, janganlah ia melihat sesuatupun dari auratnya, kerana sesungguhnya apa yang ada di bawah pusat sampai kedua lututnya merupakan auratnya. (HR Ahmad).
Hadis yang sama juga diriwayatkan dengan sedikit perbezaan oleh al-Baihaqi dan ad-Daruquthni.
Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan bahawa paha adalah aurat. Namun, ulama hadis berbeza pendapat. Sebahagian menilai sahih atau hasan; sebahagian lain menilainya lemah.
Muhammad bin Jahsyi menuturkan: Aku pernah bersama Rasul melalui Ma'mar, sedangkan kedua pahanya terbuka, lalu Rasul bersabda:
Wahai Ma'mar, tutupi kedua pahamu, sesungguhnya kedua paha itu aurat. (HR Ahmad, al-Hakim, dan al-Baihaqi).
Jarhad al-Aslami menuturkan, ia sedang di masjid, lalu Nabi saw. datang dan memandangnya, sementara pahanya terbuka, lalu Nabi bersabda:Sesungguhnya paha termasuk aurat. (HR. al-Hakim dan ia mensahihkannya).
Ibn Abbas juga menuturkan hadis dengan lafaz yang sama, sebagaimana diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tirmidzi, dan al-Baihaqi.
Mereka yang menilai paha bukan aurat mendasarkannya pada riwayat Anas, bahawa pada Perang Khaibar:
Izar terbuka dari kedua paha Nabi saw. dan sungguh aku dapat melihat putihnya kedua paha Nabi Allah. (HR Ahmad dan Bukhari).
Aisyah juga menuturkan: Rasul sedang duduk dan tersingkap pahanya. Lalu Abu Bakar meminta izin dan Beliau tetap dalam keadaan itu. Kemudian Umar meminta izin dan Beliau juga tetap dalam keadaan itu, kemudian Ustman meminta izin, lalu Rasul mengulurkan pakaiannya, ketika mereka berdiri. Aku (Aisyah) bertanya, "Wahai Rasulullah, Abu Bakar dan Umar meminta izin dan engkau izinkan, sedangkan engkau dalam keadaanmu itu. Ketika Utsman meminta izin engkau hulurkan pakaianmu." Rasul menjawab, "Wahai Aisyah, apakah aku tidak merasa malu dari seorang laki-laki yang, demi Allah, malaikat pun merasa malu kepadanya?" (HR Ahmad).

Kaidah ushul menyatakan: I'mal dalilain awla min ihmal ahadihima (Mengamalkan dua dalil lebih utama dari pada mengabaikan salah satunya). Lalu bagaimana menghimpunkan kedua kelompok hadis yang terlihat bertentangan di atas?
Dalam riwayat Muslim di atas, terdapat kemungkinan antara paha atau betis, sedangkan betis secara ijmak bukan termasuk aurat lelaki. Dengan adanya kemungkinan itu, berhujjah dengan hadis tersebut untuk menyatakan paha bukan aurat gugur.
Menurut ketentuan ushul, perkataan dan perintah lebih kuat dibandingkan dengan perbuatan (dalam menunjukkan konotasi atau tuntutan). Hadis-hadis yang menunjukkan aurat laki-laki antara pusat dan lutut-termasuk paha-merupakan perkataan dan perintah Rasul saw. Adapun hadis mengenai terbukanya paha Rasul mendeskripsikan perbuatan Beliau. Perbuatan Beliau sendiri tidak boleh menggugurkan perkataan dan perintah Beliau. Menurut asy-Syaukani, tidak terdapat dalil secara khusus tentang meneladani Beliau semisal perbuatan itu. Juga tidak terdapat riwayat bahawa Anas, Abu Bakar dan Umar meneladaninya dengan berbuat seperti Beliau. Dengan demikian, yang wajib adalah berpegang pada perkataan dan perintah Beliau.
Menurut ketentuan ushul, jika terdapat pertentangan antara perkataan dan perintah Rasul dengan perbuatan Beliau maka perbuatan Beliau itu mesti dibawa sebagai kekhususan bagi Beliau, sedangkan perkataan dan perintah Beliau berlaku untuk kaum Muslimin secara umum.3 Jadi, paha bukan aurat hanya khusus bagi Beliau, sedangkan bagi kaum Muslim paha adalah aurat.
Dengan demikian, semua hadis di atas boleh digunakan sebagai dalil tanpa mengabaikan satu hadis pun yang sah dijadikan dalil.
Walhasil, aurat lelaki adalah anggota tubuh antara pusat sampai ke lutut, dimana pusat dan lutut tidak termasuk aurat.

Aurat Wanita

Rasul saw. pernah bersabda:Wanita adalah aurat. (HR Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah).
Allah Swt. berfirman:Katakanlah kepada para wanita Mukmin, "Hendaklah mereka menahan pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak padanya." (TMQ an-Nur [24]: 31).

Hadis di atas menyatakan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat. Ayat di atas menyatakan seluruh tubuh wanita adalah aurat, kecuali yang biasa nampak. Maksud ayat tersebut adalah janganlah para wanita menampakkan tempat-tempat perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak, iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Dengan demikian, wanita mesti menutup seluruh tubuhnya, kecuali muka dan kedua telapak tangannya. Ia mesti mengenakan khimar (kerudung) yang menutupi seluruh kepala, rambut, leher, dan bahu; dihulurkan menutupi belahan baju di dada (TMQ an-Nur [24]: 31).
Ia juga harus menutup seluruh badannya sampai kedua telapak kaki. Ummu Salamah menuturkan, Rasul saw. pernah bersabda (yang bermaksud): "Siapa saja yang memanjangkan pakaiannya kerana sombong, Allah tidak akan memandangnya pada Hari Kiamat." Ummu Salamah bertanya, "Lalu bagaimana wanita memperlakukan hujung pakaiannya?" Nabi saw. menjawab, "Hulurkan sejengkal." Ummu Salamah berkata, "Jika demikian, kaki mereka kelihatan." Nabi saw. menjawab, "Hendaknya mereka menghulurkannya sehasta dan jangan ditambah lagi." (HR al-Bukhari).
Ummu Salamah memahami bahawa wanita mesti menutup seluruh tubuhnya hingga kedua telapak kaki dan Rasul membenarkannya. Hal itu juga dinyatakan dalam hadis-hadis mengenai kewajipan menutup aurat bagi wanita dalam shalat.
Riwayat yang sahih menyatakan bahawa Ibnu Abbas, Ibn Umar, dan Aisyah, menafsirkan kalimat illa ma zhahara minha/kecuali yang biasa nampak darinya (QS an-Nur [24]: 31) dengan wajah dan kedua telapak tangan sampai pergelangan tangan. Di samping itu juga banyak riwayat sahih yang menunjukkan bahawa keduanya, yakni wajah dan kedua telapak tangan memang biasa nampak dari wanita pada masa Rasul, yakni saat turunnya ayat tersebut. Begitu juga ketika para wanita itu bertemu dan berbicara dengan Rasul. Rasul pun mendiamkan fakta seperti itu. Wallahu a'lam bi ash-shawab.

Rujukan:

1. Ar-Razi, Mukhtar ash-Shihah, I/193, Maktabah Lubnan Nasyirun, Beirut, cet. baru. 1995
2. Lihat, Ibn Manzhur, Lisan al-'Arab.
3. Lihat, Asy-Syaukani, Nayl al-Awthâr, II/48-51, Dar al-Jil, Beirut. 1073; Mahmud bin Abdul Lathif 'Uwaidhah, al-Jami' li Ahkam ash-Shalah, bagian Satr al-'Awrah, Dar al-Wadhah-Muassasah ar-Risalah, Aman Yordania. Cet. III. 2003.


@-Copyright Control-
Read More...